Monday, March 29, 2010

Pemilihan PSM sempena jubli emas

UTUSAN MALAYSIA
29 MAC 2010

PETALING JAYA - Mesyuarat agung pemilihan pucuk pimpinan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) penggal 2010-2013 yang ditangguhkan semalam, kemungkinan besar diadakan sempena ulang tahun penubuhan persatuan kali ke-50, Jun ini.

Mesyuarat berkenaan bakal menggunakan Perlembagaan baru PSM yang kini menantikan kelulusan Pesuruhjaya Sukan dengan tiga jawatan tertinggi iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden akan melalui proses pencalonan semula sekali gus membatalkan keputusan 7 Mac lalu.

Ketiga-tiga jawatan berkenaan yang akan dibuka semula untuk ditandingi mana-mana pegawai daripada 17 ahli gabungan PSM yang meliputi 14 negeri, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia dan Labuan sementara hanya Setiausaha Agung dan Bendahari serta penolong kedua-duanya yang dilantik.

Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail berkata, pada dasarnya Majlis Tertinggi persatuan kelmarin bersetuju dengan tarikh mesyuarat agung sempena ulang tahun itu, tetapi masih memberi mandat kepada Jawatankuasa Eksekutif (Exco) membincangkan dan menetapkannya dalam tempoh antara sebulan hingga sebulan setengah dari sekarang.

"Exco PSM akan bermesyuarat sebaik sahaja mendapat kelulusan bertulis Pesuruhjaya Sukan. Kami mempunyai masa sehingga 27 Jun ini untuk mengadakan mesyuarat agung yang baru berdasarkan perlembagaan," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi persatuan di Hotel Eastin di sini, semalam.

Ditanya tindakan Majlis Tertinggi ke atas individu yang digelarnya 'Si Kitul' yang menjadi punca penangguhan mesyuarat agung dan cuba mendapatkan injunksi mahkamah menghalangnya, kata Ahmad: "Ia ada dibincang tetapi kami memikirkan sebarang tindakan hanya akan disalahtafsirkan apatah lagi menjelang pemilihan.

"Jadi lebih baik kami putuskan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan ke atasnya tetapi menyeru mereka yang cintakan sepak takraw, kembali berganding bahu dengan kami membangunkan sepak takraw - sukan seni warisan budaya bangsa.

"Cukuplah setakat itu kerana saya tidak mahu kemelut PSM yang tidak berkesudahan dan kami mengambil pendirian untuk meneruskan kerja," katanya, yang pada 7 Mac lalu diputuskan menang tanpa bertanding mempertahankan kerusi nombor satu PSM itu bagi penggal ketiga sejak 2002.

Sementara itu, katanya, PSM turut merancang mengadakan beberapa acara besar-besaran sempena merayakan ulang tahun jubli emasnya, Jun ini seperti menganjurkan Ekspo PSM dan Sepak Takraw dan Kejohanan Veteran Antarabangsa melibatkan Malaysia, Thailand, Myanmar, Singapura dan Indonesia.

"Kami akan menjemput legenda sepak takraw kita seperti Raja Sepak Takraw Asia 1986, Adnan Saidin dan bekas tekong handalan dari Thailand, Pakdee Dangwatanapaibul dalam perlawanan itu di samping satu perlawanan skuad senior yang berupa persediaan ke Sukan Asia Guangzhou, November ini.

"Turut diadakan ialah satu perlawanan persahabatan Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris) dengan Media Thailand seperti ketika Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-24 di Bangkok, tahun lalu," katanya yang juga Timbalan Presiden I Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Selain itu, PSM juga mengumumkan Kejohanan Belia Kebangsaan akan diadakan di Melaka dari 1 hingga 5 Mei ini sekali gus satu gelanggang ujian menjelang Sukan Malaysia (Sukma) Ke-13 dari 10 hingga 19 Jun depan.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

My Playlist