Thursday, April 8, 2010

Sepak takraw Piala Presiden ke Sarawak

KUALA LUMPUR - Kejohanan Piala Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail yang mendapat sambutan hangat penyertaan sehingga 60 regu dari seluruh negara, Februari lalu, akan dipertandingkan buat kali kedua di Sarawak pula, September ini.

Kata Ahmad, kali ini kejohanan terbuka dan berformat antara regu itu memilih gelanggang di luar Semenanjung demi mencungkil lebih ramai pemain yang berbakat untuk diketengahkan ke skuad elit atau pelapis negara.

"PSM percaya Sarawak mahupun Sabah mempunyai peranan yang mampu dimainkan sebagai penyumbang pembangunan sukan sepak takraw negara apabila dipilih sebagai tuan rumah kejohanan anjuran kami," katanya mengulas lawatan ke Kuching, baru-baru ini.

Kata Ahmad, satu lagi kejohanan terbuka antara regu yang turut diserahkan kepada Sarawak sebagai tuan rumahnya ialah Terbuka PSM-Salim Sports Siri 7/2010 yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 11 Julai ini.

"Walaupun Sarawak jarang menganjurkan kejohanan besar mungkin disebabkan kos yang terlalu tinggi, saya percaya Piala Presiden PSM dan Terbuka PSM-Salim Sports akan meninggalkan kesan mendalam kepada sukan sepak takraw negeri ini.

"Sarawak memiliki ramai pemain berbakat besar tetapi mungkin akibat kurang pemantauan PSM, mereka terlepas pandang dan tersisih tetapi kedua-dua kejohanan ini akan mencetuskan idea dan memberikan pilihan baru kepada kami untuk menilai mereka semula," katanya.

Terdahulu Ahmad bersama pegawai PSM lain seperti Setiausaha Agung, Datuk Arshad Yahya dan Ketua Seranta, Tengku Adnan Tengku Burhanudin mengadakan kunjungan hormat terhadap exco baru Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) diketuai Naib Yang Dipertuanya, Dr. Paruwadi.

"PSS terharu dengan kepercayaan PSM memberikan hak tuan rumah dua kejohanan itu tetapi menganggapnya satu cabaran besar untuk menjayakannya sekali gus mencungkil lebih ramai bakat Sarawak sebagai pemain negara," ujarnya.

Piala Presiden PSM di Bukit Jalil pada 6 dan 7 Februari lalu yang turut bertujuan sebagai medan pemilihan skuad elit baru negara, menyaksikan regu UPM - Ahmad Sufi Mohammed Hashim, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam bergelar juara setelah menewaskan ATM 2-0.

Terbuka PSM-Salim Sports pula sudah menjelajah Lumut, Perak (Disember), Sintok, Kedah (Januari), Kota Bharu, Kelantan (Februari) dan Manjung, Perak (bulan lalu) sebelum diteruskan di Kompleks Sukan Kluang, Johor dari 24 hingga 25 April ini.

Regu Taiping A bergelar juara di Lumut yang melibatkan 24 regu, SWIP B pula menjuarai Siri 1 (66 regu) di Sintok, diikuti Sukma Kelantan A (Siri 2 - 33 regu) dan Markas Armada A TLDM (Siri 3 - 27 regu).

No comments:

Related Posts with Thumbnails

My Playlist