Monday, March 22, 2010

Milik elit atau si kerdil

utusan ARKIB : 20/03/2010


PEMEGANG rekod juara kedua terbanyak 10 kali, Selangor ibarat gergasi yang bakal bangkit daripada lena dalam Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-47 di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, mulai hari ini hingga Isnin.

Negeri penyandang dua pingat emas Sukan Malaysia 2008 ini mempertaruhkan ramai bintang skuad elit negara dan pasti memiliki kelebihan dan peluang cerah untuk melebarkan rekod dalam kejohanan berpasukan itu.

Mereka termasuk empat pemain pemenang perak Sukan SEA Laos 2009 - Ahmad Sufi Mohammed Hashim, Noor Azman Abdul Hamid, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam di samping Khairul Anuar Ibrahim dan Arif Ramli selain bekas pelibas negara yang juga pakar acara beregu seperti Arif Busu.

Ramai pemain Selangor juga menguasai antara lapan regu terbaik pada Kejohanan Piala Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail di gelanggang sama dari 6 hingga 7 Februari lalu, sehingga terpilih membarisi skuad elit ke Sukan Asia Guangzhou.

Kali ini Piala Emas Khir Johari yang diperkenalkan pada Disember 1962 oleh Presiden pertama PSM, Allahyarham Tan Sri Khir Johari, berlangsung serentak tiga kategori lain iaitu terbuka antara regu Bawah 21 Tahun, Veteran dan Wanita dengan hadiah kemenangannya berjumlah RM20,950.

"Juara Piala Khir Johari turut mengaut ganjaran RM5,000; naib juara RM3,000 dan dua pasukan kalah separuh akhir masing-masing meraih RM1,000 manakala ganjaran juara kategori lain ialah RM2,000; RM2,000 dan RM1,500," kata Setiausaha Agung PSM, Datuk Arshad Yahya.

Persaingan awal secara liga Piala Emas Khir Johari Ke-47 bakal dibahagikan kepada empat kumpulan dengan setiap satunya dianggotai tiga hingga empat negeri atau ahli gabungan lain PSM seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sekalipun Selangor bakal mendapat perhatian, ATM yang dibimbing bekas pengumpan negara, Zahar Ismail tetap turun mempertahankan trofi tertua kebangsaan ini setelah menewaskan Terengganu 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur tahun lalu.

Tentera juga bakal diperkuatkan empat pemain skuad elit negara sekarang - Mohamad Fazil Mohd. Asri, Mazli Mohd. Soh, Sazali Saat dan Helmi Ismail selain bekas pemain kebangsaan seperti Khairudin Adenan, Shukrey Derin dan Fairul Zainal Abidin.

Selain ATM juga selaku juara terbanyak, 11 kali, tidak ketinggalan cuba menyekat mereka ialah PDRM dengan membariskan pemain berpengalaman seperti dua ahli regu emas Sukan SEA 2005 - Mohd. Futra Abd. Ghani dan Mohd. Normanizam Ahmad.

Agak malang apabila PDRM yang dibanjiri bintang kebangsaan, disekat Melaka 2-1 pada suku akhir tahun lalu tetapi kekecewaan itu pasti mahu ditebus dengan pencapaian lebih baik sehingga mampu kembali menjulang trofi tersebut seperti pada 1990.

Mirip Liga M dengan anugerah Kasut Emas buat penyerang, Piala Emas Khir Johari turut akan menyaksikan penentuan siapa 'Raja Libas Malaysia' antara apit kanan seperti Norshahruddin, Mohd. Fazli Muhammad Roslan dan abangnya, Mohd. Hamikhairi, Mohd. Azman Nasruddin, Futra, Khairul, Sazali dan Helmi Ismail serta beberapa bakat baru.

Masing-masing dengan gaya libasan kalih, gulung dan pari manakala tekong seperti Ahmad Sufi, Muhammad Syazwan Husin, Noor Azman, Mohamad Fazil, Normanizam, K. Saravanan, Mazli Mohd. Soh turut memainkan peranan membantu memburu mata mudah pasukan menerusi servis kuda, pancung dan putar.

Arena sepak takraw Malaysia bagaimanapun masih merindui kemunculan semula Ibrahim Tongkat pada alaf baru ini dengan libasan unik, menongkat (mendirikan sebelah tangan dan merembat atau menujah bola) - satu-satunya gaya serangan yang dilancarkan di 'darat'.

Ibrahim Abu Bakar (nama sebenarnya) mencipta nama dengan gaya berkenaan bersama-sama seorang lagi apit, Yahya Kadir malah gandingan mereka membantu Melaka menjuarai kategori kebangsaan Kejohanan Sedunia MAS-Utusan Malaysia-RTM sekitar 80-an.

Namun pegawai penjara tinggi lampai itu tetap akan kembali sebagai jurulatih Melaka yang turut menjadikan Piala Emas Khir Johari sebagai gelanggang pemanas badan menjelang Sukan Malaysia Ke-13 yang dikelolakannya pada Jun ini.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

My Playlist