Friday, December 11, 2009

Skuad negara lenyap badi Thailand-Piala Terbuka Antarabangsa Vietnam (08 Oct 09)

KUALA LUMPUR - 'Badi Gajah Putih' yang melanda skuad elit sepak takraw negara setiap kali menentang Thailand, lenyap apabila berjaya menewaskan musuh tradisi itu 2-1 untuk menjuarai acara antara regu Piala Terbuka Antarabangsa Vietnam, kelmarin.

Regu utama negara - Syazwan Husin, Hamikhairi Roslan dan Syafiq Ab. Rahman membawa pulang trofi pusingan dan ganjaran RM3,000 sekali gus mempertahankan gelaran tahun lalu sekalipun diheret ke tiga set perlawanan akhir yang berlangsung di Wilayah Thanh Hoa, 17-21, 21-12, 17-16.

Dua perlawanan terawal menyaksikan mereka menewaskan Vietnam dan China 2-0 untuk mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan D dengan mengatasi Laos 2-0 (21-15, 21-7) pada separuh akhir.

Kejayaan anak buah Haris Abdul Rahman kali ini turut dianggap lebih gemilang dan bernilai memandangkan mereka hanya bergelar juara dengan menewaskan Vietnam dan Indonesia tanpa penyertaan Thailand.

Sejak awal tahun ini, Malaysia terlalu sukar menjinakkan Thailand sejak Jemputan Piala Raja Muda Perlis, Piala Datuk Bandar, Festival Bau Yai, Kejohanan Dunia Piala Malaysia dan Piala Raja Thai serta Sukan Dunia.

Selepas ini, anak buah Haris dijangka beraksi dalam Jemputan Antarabangsa Pasir Gudang, bulan depan sebagai pendedahan pertandingan sebenar menjelang Sukan SEA di Laos, Disember ini.

Namun, agak malang ialah apabila pasangan Saifullah Mohamed Nor dan Nurakmal Firdauz Ahmad terkandas pada peringkat Kumpulan X acara beregu di Thanh Hoa, masing-masing di tangan tuan rumah dan Thailand 1-2.

Skuad wanita yang turut ke wilayah yang terletak kira-kira 150 kilometer dari ibu kota Hanoi itu juga kecundang kepada Jepun dan Vietnam 0-2 pada peringkat Kumpulan L antara regu selain tuan rumah dan Thailand 0-2 (beregu).

No comments:

Related Posts with Thumbnails

My Playlist