Friday, December 11, 2009

Gelaran Vietnam nyala semangat baru PSM-Piala Terbuka Antarabangsa Vietnam di Thanh Hoa (8 Oct 09)

KUALA LUMPUR - Kejayaan mengejut menumbangkan Thailand di Vietnam, baru-baru ini menguntum semula harapan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail untuk melihat sebutir pingat emas Sukan SEA Laos dikalungkan pada skuad elit negara.

Menang 2-1 sekali gus menjuarai acara antara regu Piala Terbuka Antarabangsa Vietnam di Thanh Hoa pada 7 Oktober lalu bererti Malaysia sudah tidak bermimpi di siang hari lagi untuk mengulanginya jika bertembung musuh tradisi itu, Disember ini.

"Inilah sentuhan kejayaan dan rentak sang juara yang pasukan cari-cari selama ini, malah saya kini yakin untuk menyahut cabaran Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek tidak lama dulu supaya kita tidak perlu menunggu sehingga Sukan Asia 2010 untuk membawa balik emas.

"Malah, inilah yang mungkin mengembalikan sentuhan seperti senario 2005 yang kemudiannya merakamkan sebutir emas Sukan SEA Filipina buat negara setelah berjaya menewaskan Thailand dalam sebuah kejohanan di Korea Selatan," katanya.

Beliau yang ditemui pada majlis Malam Aidilfitri PSM di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Taman Keramat di sini, kelmarin, berkata, ia bakal menyuntik semangat pasukan negara tetapi bukan bermakna mereka boleh riak atau mendabik dada selepas ini.

"Keinsafan untuk berlatih lebih giat juga perlu dipupuk dan saya tidak melihat sasaran baru sebutir emas Sukan SEA Laos bakal membawa tekanan pada mereka," ujarnya yang merujuk kejayaan regu Syazwan Husin, Hamikhairi Roslan dan Syafiq Ab. Rahman menang 17-21, 21-12, 17-16.

Kejayaan ini mengakhiri deretan 'Badi Gajah Putih' yang melanda anak buah Haris Abdul Rahman apabila menentang Thailand sejak Jemputan Piala Raja Muda Perlis di Kangar (Februari), Kejohanan Dunia Piala Malaysia di Kuala Terengganu (Mei), Piala Raja Thai di Bangkok dan Sukan Dunia di Kaoshiung (Julai).

Ia juga berkat siri perlawanan sepelatih dengan Tentera Laut Thailand di Bukit Jalil sepanjang Ramadan lalu selain pendedahan menentang barisan regu handalan negara itu ketika Kejohanan Jemputan Antarabangsa EGAT di Ratchaburi, beberapa minggu sebelumnya.

Enggan melihat momentum cemerlang itu mudah tergendala apabila menghadapi Sukan SEA, Ahmad turut mengenakan larangan bercuti raya Aidiladha dan balik kampung serta-merta buat pemain negara pada akhir bulan depan yang turut akur diterima mereka.

"Kami akan atur program khas dalam tempoh raya itu kerana tidak mahu kerana cuti panjang, mereka sukar mendapatkan prestasi sebenar dan terbaik dalam latihan mahupun pertandingan," jelasnya yang juga Timbalan Presiden I Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, dua regu elit dan dua regu wanita bakal dihantar menyertai Kejohanan Pra-Sukan SEA di Laos mulai semalam selain satu regu lelaki beraksi dalam sebuah kejohanan anjuran Jepun.
"Bagi skuad elit, program persediaan mereka melibatkan lima regu dan tiga beregu, diteruskan dengan siri perlawanan sepelatih dengan kelab selatan Thailand di Hatyai (hari ini) dan Yala (Sabtu hingga Isnin ini)," katanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

My Playlist