Friday, December 11, 2009

Hami Khairi pitam untuk julang negara-Kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa EGAT-Teerathai-23 Ogos 09

KUALA LUMPUR - Apit kanan, Hamikhairi Roslan mengerah kudrat sehingga pitam malah dalam keadaan masih berpuasa sebelum skuad elit negara terpaksa berpuas hati selaku naib juara Kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa EGAT-Teerathai, kelmarin.

Ketua Seranta Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Tengku Adnan Tengku Burhanudin berkata, pelibas dari Terengganu itu terpaksa digantikan oleh Shahril Shukor ketika kedudukan terikat 7-7 pada set kedua perlawanan akhir di Ratchaburi, Thailand itu.
"Regu negara dikalahkan Ratchaburi 0-2 (22-24, 18-21) di gelanggang yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Bangkok dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada pukul 3 petang waktu tempatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Turut membarisi regu ini ialah tekong Syazwan Husin dan apit kiri-pengumpan yang diterima semula menyertai skuad elit, Syafiq Ab. Rahman setelah disingkirkan kerana meninggalkan kem beberapa hari menjelang Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-24, bulan lalu.

Bagaimanapun selaku naib juara, mereka tetap membawa pulang ganjaran RM5,000 manakala regu Ratchaburi meraih RM10,000. Terdahulu menurut Tengku Adnan, regu negara menewaskan EGAT 21-18, 21-18 pada separuh akhir pada pukul 11.30 pagi.
"Satu lagi regu negara, Ahmad Sufi Hashim, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam yang kalah pada pusingan awal, berjaya muncul juara divisyen dua dengan menewaskan Laos 2-0 (21-7, 21-11)," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan PSM.

Kejohanan Antarabangsa EGAT-Teerathai ini merupakan aksi pertama skuad elit sejak pulang dengan sebutir pingat emas beregu dan sebutir perak antara regu acara demonstrasi Sukan Dunia Kelapan di Kaoshiung, Taiwan, pertengahan bulan lalu.
Sejak awal tahun ini, skuad elit masih belum sempat mengecapi kejuaraan antarabangsa termasuk Kejohanan Terbuka dan Jemputan Piala Raja Muda Perlis di Kangar, Festival Bau Yai dan Piala Datuk Bandar Hatyai dari Februari hingga Mac lalu.
Malah Kejohanan Dunia Piala Malaysia Ketiga di Terengganu, Mei lalu, menyaksikan skuad elit sekadar bergelar naib juara antara regu tetapi dua pasukannya, A dan B ditundukkan Indonesia di peringkat kumpulan dan separuh akhir berpasukan.
Lebih malang ialah apabila Korea Selatan pula memalitkan arang dengan mengejutkan skuad negara 2-1 dalam acara beregu dan dikalahkan Indonesia lagi pada perlawanan akhir antara regu) Piala Raja Thai sehingga mencetuskan kritikan pelbagai pihak di tanah air.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

My Playlist