Friday, December 11, 2009

Azlan terlepas ke Sukan SEA

KUALA LUMPUR – Hanya mendengar nama Azlan Mubin, moral dan psikologi musuh tradisi Thailand sudah pun meruntun dan bayangkan jika pelibas kidal ini hadir dengan rejaman gulungnya dalam Sukan SEA Laos, Disember ini.
Malang seribu kali malang, apit kanan kelahiran Kulim, Kedah ini sudah boleh melupakan temasya dwitahunan serantau ke-25 itu, kesan pembedahan kedua belah lututnya sembilan bulan lalu yang masih terasa sakit sehingga kini.
Kesukaran berlari dan melompat, malah lutut adakalanya berdarah menyebabkan Azlan terpaksa meninggalkan sesi latihan skuad elit walaupun minat dan semangat berjuang demi negara masih kuat menyala-nyala di jiwa.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail turut menganggap kesuntukan masa dan kecergasan yang terbatas itu menyulitkan skuad elit menamakannya semula dalam program persediaan ke Laos sekarang.
“Saya tahu Thailand masih gerun mendengar namanya tetapi jika dia tidak dapat bermain, eloklah peluang itu diberikan kepada ramai apit kanan lain. Mungkin mereka juga setanding atau lebih baik.

“Hamikhairi Roslan (tidak beraksi dalam Kejohanan Dunia Piala Malaysia dan Piala Raja Thai, Mei dan Jun lalu) pun sudah pulih daripada kecederaan buku lalinya. Di samping Norshahruddin Mad Ghani, kita masih kuat untuk bersaing di Laos,” katanya di Taman Keramat, baru-baru ini.
Apit kanan atau pelibas lain skuad elit yang kini berlatih di MSN, Bukit Jalil ialah Shaifullah Mohamed Nor, Taufik Saad dan Arif Busu serta Khairudin Adenan atau Shukery Derin.

Ketua Seranta PSM, Tengku Adnan Tengku Burhanudin bagaimanapun berkata, Azlan mungkin cuma perlu direhatkan sementara daripada skuad elit dan bukan bererti dia digugurkan secara mendadak.
“Masih ada peluang dan masa untuk memanggilnya balik menyertai pasukan kerana sasaran utama kita ialah meraih sebutir pingat emas Sukan Asia Guangzhou 2010,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan PSM.
Kali terakhir Azlan, pelibas senior pemenang pingat perak Sukan SEA Vietnam 2003 dan Sukan Asia Doha 2006, sempat berlatih dengan skuad elit ialah menjelang beberapa hari ke Piala Raja Thai Ke-24 di Bangkok, Julai lalu.
Lulusan Sarjana Muda Pendidikan Jasmani Universiti Putra Malaysia pada 10 Ogos lalu ini turut bergelar pengacara sambilan sebuah program sukan TV, ‘3-2-1 Go!’ yang ke udara setiap 4 petang Khamis di TV2.

Sementara itu, skuad negara yang bakal menjalani latihan dengan Tentera Laut Thailand dari Ahad hingga 16 September ini, turut akan menyertai dua lagi pertandingan antarabangsa sebagai pendedahan ke Sukan SEA.
Kejohanan itu ialah Jemputan Antarabangsa Vietnam di Hanoi (1 hingga 8 Oktober), Jemputan Antarabangsa Pasir Gudang, dari 7 hingga 11 Oktober dan siri perlawanan ujian menentang kelab Thailand di Hatyai dari 18 hingga 19 Oktober.
“Skuad wanita negara pula akan mengadakan siri perlawanan ujian dengan beberapa kelab di selatan Thailand pada November ini selain menghantar salah satu regu beraksi di Hanoi,” katanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

My Playlist