Friday, December 11, 2009

Rejaman servis lawan masih jadi igauan

KUALA LUMPUR – Menyambut servis lawan, bertahan dan keserasian gandingan adalah antara elemen penting yang memerlukan pemulihan dan peningkatan segera skuad elit sepak takraw menjelang Sukan SEA XXV di Laos, Disember ini.
Kelemahan yang dikesan sepanjang siri perlawanan dengan Tentera Laut Thailand di Bukit Jalil, baru-baru ini agak merunsingkan Haris Abdul Rahman sekalipun ketua jurulatih negara itu masih mempunyai masa untuk memperbaikinya.
Ternyata, siri perlawanan di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara (MSN) hampir setiap hari dari 6 September hingga Rabu lalu itu cuma mengurangkan kegerunan dan rasa terlalu menghormati mana-mana pemain dari Thailand selain merapatkan jurang mata dan persaingan sesama mereka.

“Dari segi prestasinya sahaja, saya berani katakan kita sudah menemui peningkatan tetapi kemampuan regu kita menyambut servis belum memuaskan saya. Begitu juga pertahanan dan persefahaman, banyak yang perlu diasah dan diperbaiki lagi.
“Ada banyak perlawanan dengan Tentera Laut Thailand ini yang kita menang, seri atau kalah secara set penentuan jadi boleh dikatakan jurang mata dan tahap permainan skuad elit dengan mana-mana pasukan negara itu sudah mampu dirapatkan,” jelasnya.
Haris tidak pula menamakan siapa regu utamanya lagi walaupun bagi acara berpasukan Sukan SEA Laos, dia memerlukan sekurang-kurangnya dua gandingan terkuat untuk menjamin kemenangan Malaysia hingga ke perlawanan akhir.
Menilai prestasi dalam siri latihan itu, sandaran regu pertamanya mungkin terarah kepada Syazwan Husin, Hamikhairi Roslan dan Syafiq Ab. Rahman sementara regu kedua bakal menampilkan Ahmad Sufi Hashim, Noshahruddin Mad Ghani dan Mohd. Hafizie Manap.
Regu ketiga yang kadangkala mampu menjadi penentu atau penyelamat pasukan sekiranya terikat 1-1 mungkin terdiri daripada Nazirul Ikram Rozali, Shaifullah Mohamed Nor dan Zulhafizazudin Rosslan atau Farhan Adam.

Malaysia terlalu sukar merampas semula emas daripada Thailand, Disember ini bahkan Indonesia dan Vietnam jauh sudah meningkat khususnya dalam antara regu dan beregu seperti terbukti dalam Kejohanan Dunia Piala Malaysia dan Piala Raja Thai, Mei dan Julai lalu.
Itu belum melibatkan Myanmar yang seolah-olah cuba menyembunyikan kekuatan dan persediaan pasukan mereka apabila tidak menyertai Piala Malaysia dan Piala Raja Thai di Kuala Terengganu dan Bangkok atau mungkin kerana menghadapi kegawatan politik tempatan.
Haris juga mengakui hakikat bahawa skuad elit tidak boleh berharapkan sentuhan dan pengalaman pelibas kidal, Mohd. Azlan Abd. Mubin yang perlu berehat lebih lama gara-gara kesan pembedahan lutut yang masih terasa.
Hanya apit kanan kelahiran Kulim, Kedah itu yang dikekalkan daripada Program Doha 2006 selain apit kiri, Zulhafizazudin setelah tekong kidal berpengalaman, Sulaiman Salleh menarik diri daripada skuad elit kerana mendapat kerja tetap.
Beberapa pelibas yang masih di kem skuad elit dan cuba bersaing merebut tempat ke Sukan SEA Laos ialah Khairudin Adenan, Mohd. Takim Dolan, Mohd. Taufik Saad, Mohamad Arif Busu, Shukery Derin dan Fadzli Roslan.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

My Playlist