Showing posts with label artikel (Sukan Sea Loas_09). Show all posts
Showing posts with label artikel (Sukan Sea Loas_09). Show all posts

Tuesday, December 15, 2009

Sukan Sea.Vientiane,Laos.(9-18 Dis 09) Sekadar melibas gangsa


HARI KELIMA PERLAWANAN SUKAN SEA,LOAS (14 DIS 09)

EMAS dicari, hanya gangsa dapat diraih regu sepaktakraw lelaki negara, jauh dari catatan terbaik muncul juara pada temasya Manila selepas berakhir acara antara regu di Pusat Konvensyen Lao Itecc, semalam.

Selepas tewas kepada Thailand dan Laos kelmarin, skuad negara bangkit menewaskan Vietnam 21-10, 21-10 serta menang 21-19 dan 21-15 ke atas Filipina.

Namun, regu negara yang terpaksa mengharapkan Filipina menewaskan Laos, untuk mengintai peluang menduduki dua kedudukan teratas pertandingan liga sepusingan itu, kempunan selepas tuan rumah menang 21-12, 21-18. Sebaliknya, Laos kini akan berdepan Thailand di final.

“Saya tidak menyalahkan pemain atas kegagalan ini. Saya faham keadaan mereka yang kepenatan selepas terpaksa mengharungi jadual yang boleh dikatakan terlalu padat.

"Pada 12 Disember, mereka menentang Thailand sebanyak dua kali iaitu di peringkat kumpulan yang dilangsungkan sebelah pagi manakala perlawanan akhir menentang lawan yang sama di sebelah petang," kata jurulatih negara, Haris Abd Rahman.

"Selepas tamat perlawanan kira-kira jam 9 malam, kami pulang ke tempat penginapan dan mendapati tiada makanan untuk atlit dan mereka tertidur dalam keadaan kelaparan."

Jelasnya, keesokannya mereka sekali lagi bertemu Thailand dalam acara antara regu dan menentang Laos di sebelah petang.

Kini hanya satu lagi acara yang diharap mampu menjulang nama negara di Laos iaitu acara double lelaki yang akan bermula pagi esok.

Sementara itu, skuad wanita pula sudah boleh 'pulang awal' apabila tewas dua perlawanan antara regu bertemu Vietnam dan tuan rumah, Laos.


Sukan Sea.Vientiane,Laos.(9-18 Disember 09) Pemain sepak takraw negara kena 'libas'


HARI KELIMA PERLAWANAN SUKAN SEA,LAOS (14 DIS 09)

VIENTIANE - Skuad sepak takraw negara gagal mengulangi pencapaian merangkul pingat emas acara regu pada Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina.

Sebaliknya, gandingan Noor Azman Abdul Hamid (tekong), Norshahruddin Mad Ghani (apit kanan) dan Mohd. Syafiq Rahman (apit kiri) manakala Muhd. Syazwan Husin (tekong) serta Mohd. Hamikhairi Muhd. Roslan (apit kanan) yang bertindak sebagai pemain simpanan hanya mampu menyumbang pingat gangsa.

Acara regu yang dilangsungkan mengikut format round robin dengan melibatkan lima pasukan, menyaksikan anak-anak buah Haris Abdul Rahman itu sekadar menduduki tempat ketiga, sekali gus gagal melayakkan diri ke peringkat akhir yang menemukan dua pasukan terbaik iaitu Thailand dan Laos.

Kekalahan mengejut 21-15, 17-21, 13-15 (tie-break) kepada Laos kelmarin dikatakan antara punca skuad negara gagal menjejakkan kaki ke pentas final, sekali gus gagal membuat perhitungan dengan musuh tradisi, Thailand.

"Saya akui kekalahan kepada Laos sebelum ini menyebabkan kita gagal mara ke final.

"Saya tidak menyalahkan pemain- pemain saya kerana mereka cukup bersemangat apabila diturunkan.

"Mungkin sudah tidak ada rezeki kami di Laos sehingga menyebabkan kami hanya mampu meraih pingat gangsa dalam acara regu, sekali gus menyebabkan kami gagal mengubati kekecewaan selepas meraih perak acara berpasukan lelaki.

"Secara keseluruhannya, saya masih berpuas hati dengan pencapaian pemain muda kita di Laos. Walaupun mereka baru kali pertama beraksi pada Sukan SEA tetapi semangat yang ditunjukkan wajar dipuji," kata pengurus skuad sepak takraw negara, Datuk Arshad Yahya ketika ditemui semalam.

Untuk rekod, Malaysia menik- mati emas acara regu ialah pada temasya 2005 menerusi gandingan Normanizam Ahmad, Futra Ghani dan Zulkarnain Arif, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan selama 12 tahun sejak temasya 1993 di Singapura.

Semalam, skuad negara mengesahkan pingat gangsa menjadi milik mereka selepas menewaskan Vietnam 2-0 (21-10, 21-10) dan Filipina (21-9, 21-15) di Pusat Pameran Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa (ITECC).

Sebelum itu, hajat mereka untuk mengakhiri kemarau selama 18 tahun dengan meraih pingat emas dalam acara berpasukan lelaki tidak kesampaian apabila tumbang 0-2 kepada Thailand pada perlawanan akhir.

Sukan Sea.Vientiane,Laos.(9-18 Dis 09) Maruah dicalar lagi


HARI KEEMPAT PERLAWANAN SUKAN SEA,LAOS (13 DIS 09)


SELEPAS Indonesia dan Korea Selatan, kini tiba giliran Laos pula memalukan skuad sepak takraw kebangsaan apabila menumbangkan gandingan harapan negara 21-13, 17-21 dan 15-13 pada saingan antara regu di Kompleks Sukan Lao Ittec, petang semalam.

Imej yang baru mahu dilonjakkan anak buah ketua jurulatih, Haris Abd Rahman itu selepas berjaya melakar aksi di perlawanan akhir acara berpasukan kelmarin, kembali tercalar teruk selepas tumbang di tangan tuan rumah temasya dwi-tahunan berkenaan - lawan yang tidak pernah dianggap sebagai pencabar utama.

Belum pernah berlaku dalam sejarah sepak takraw, Malaysia ditewaskan Laos, tetapi perkara yang paling mahu dielakkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) itu terjadi juga akhirnya dan yang lebih memeritkan, laluan untuk ke perlawanan akhir acara berkenaan boleh dianggap sebagai sudah tertutup rapat.

Untuk mengharapkan Filipina menundukkan Laos, adalah sesuatu yang boleh dianggap mustahil sama sekali kerana Filipina bukanlah kuasa besar di dalam arena sepak takraw antarabangsa manakala Malaysia perlu menang ke atas Vietnam dan Filipina dalam baki perlawanan peringkat kumpulan


Haris mengakui peluang Malaysia ke perlawanan akhir sudah semakin sempit, tetapi beliau masih lagi menaruh harapan kepada keupayaan Filipina.


“Memang sukar untuk melihat Filipina menumbangkan Laos, tetapi dalam sepak takraw apa saja boleh berlaku,” katanya.

Terdahulu, pada perlawanan menentang Thailand, pagi semalam, Malaysia tewas 21-13, 21-11 dan gandingan Mohd Syazwan Husin, Mohd Hamikhairi Roslan dan Mohd Shafiq Abd Rahman sekali lagi dipertaruhkan untuk menewaskan Laos dan selepas tamat set pertama, tugas itu dilihat tidak terlalu sukar untuk dilaksanakan.

Begitupun, servis berbisa Mohd Syazwan, gagal diteruskan pada babak kedua dan Haris bertindak menggantikan pemain itu dengan Noor Azman Abd Hamid, tetapi pemain itu tetap tidak berupaya mengekang servis tajam tekong Laos.

Kegagalan demi kegagalan itu membuatkan pemain Malaysia kelihatan seperti hilang punca dan aksi hebat dipamerkan pada babak pertama, hilang dan tenggelam dalam sorakan padu penyokong tuan rumah.

“Kita kalah kerana kedua-dua tekong kita gagal membuat servis yang baik. Kita kerap memberi mata secara percuma kepada regu Laos, sama ada servis terkeluar atau terkandas. Lebih memburukkan keadaan, banyak kali servis lawan juga gagal kita angkat dengan baik.

“Sekarang, kita perlu menang baki dua perlawanan iaitu menentang Vietnam dan Filipina untuk membolehkan kita mencabar gangsa,” kata Haris yang kecewa dengan kekalahan itu.

Sukan Sea.Vientiane,Laos.(9-18 Dis 09) Laos catat sejarah aibkan regu negara

HARI KEEMPAT PERLAWANAN SUKAN SEA,LAOS (13 DIS O9)

SEJARAH tercipta dalam acara regu temasya - bukan kerana Malaysia berjaya menundukkan Thailand sebaliknya dipalit aib tewas kepada Laos di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ITECC), semalam.

Ia adalah kekalahan pertama regu negara kepada Laos di Sukan Sea - regu dianggap kerdil berbanding kuasa besar sukan itu seperti Myanmar dan Thailand.

Lebih memeritkan, Malaysia kini perlu mengharapkan ihsan Filipina menewaskan Laos bagi mencari ruang mendapatkan pingat lebih baik daripada gangsa selepas tewas dua perlawanan awal semalam.

Regu negara - Mohd Shazwan Husin, Mohd Hamikhairi Mohd Roslan dan Shafiq Ab Rahman tewas 15-21, 21-17, 15-13 kepada regu utama Laos, Thittaranh Bounpaseath, Champion Samsaimaivong dan Daong Savavongsay.

Sebelum itu mereka turut tewas 2-0 kepada pasangan utama Thailand pada perlawanan awal menyebabkan skuad negara kini tanpa sebarang mata dalam saingan membabitkan lima negara itu.

“Tekong banyak membuat kesilapan, kerap servis tidak melepasi jaring dan terkeluar,” kata jurulatih negara, Haris Abd Rahman yang mengeluarkan Shazuan dan digantikan dengan Nor Azman Abd Hamid pada set ketiga.

Tambah perit, regu wanita (Rahilah Harun, Nor Farhana Ismail dan Noor Fairuz Azizan) tewas 12-21 dan 14-21 kepada Laos.


Sukan Sea.Vientiane,Laos.(9-18 Dis 09) Malaysia kempunan lagi


HARI KETIGA PERLAWANAN SUKAN SEA LAOS (12 DIS 09)

MALAYSIA gagal menumbangkan Thailand sebagai kuasa Asia Tenggara apabila tunduk 2-0 dalam perlawanan akhir, bagi membolehkan Negara Gajah Putih itu meneruskan dominasinya acara berpasukan lelaki sejak 1993 di Singapura, semalam.

Anak buah Haris Abdul Rahman kelihatan tidak bermaya menghadapi kepintaran dan kelicikan kelibat anak didik jurulatih Thailand, Kamol Tankimhong untuk menyerah dalam tempoh 90 minit.

"Kami banyak membuat kesilapan mudah dan gagal mematikan bola ketika mempunyai peluang," kata apit kanan regu pertama negara, Mohd Hamidkhairi Muhd Ruslan.

"Bukannya kerana kami takut dengan Thailand tetapi entah kenapa hari ini semuanya serba tak kena dengan servis kurang tajam dan rejaman juga lemah. Kesilapan itu menyebabkan Thailand mudah mengatasi kita."

Tekong regu kedua negara, Noor Azman Abdul Hamid yang menggantikan Ahmad Sufi Mohd Hashim di set kedua turut melahirkan sentimen sama.

"Kami banyak melakukan kesilapan dan tidak menyempurnakan peluang," katanya. "Semua pukulan kita lemah dan mudah diangkat ataupun ditampan regu Thailand."

Haris menurunkan regu pertama dibarisi Mohd Syazwan Husin (tekong), Hamidkhairi dan Mohd Syafiq Ab Rahman (apit kiri), untuk bertemu trio utama Thailand dengan tekong terkemuka Suebsak Phunsueb, Pornchai Koakaen (apit kanan) dan Suriyan Peachan, yang menyaksikan barisan negara tewas 14-21, 17-21.

Dengan paluan gendang, serunai dan tiupan hon oleh penyokong Thailand menggamatkan suasana gelanggang, regu kedua negara Ahmad Sufi (Noor Azman), Norshahruddin Mad Ghani (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri), turut gagal menghalang kemenangan Thailand.

Trio negara tunduk 15-21, 17-21 kepada regu Thailand, Kriangkrai Kaenmean, Anunat Chaichana (apit kanan) dan Pattarapong Yupadee (apit kiri).

"Pemain negara kurang pengalaman dan majoriti pemain beraksi pertama kali dalam Sukan Sea," kata Haris. "Itu yang menjadi perbezaan antara kita dengan Thailand."
Related Posts with Thumbnails

My Playlist