Showing posts with label Artikel Akhbar.... Show all posts
Showing posts with label Artikel Akhbar.... Show all posts

Thursday, April 8, 2010

Sepak takraw Piala Presiden ke Sarawak

KUALA LUMPUR - Kejohanan Piala Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail yang mendapat sambutan hangat penyertaan sehingga 60 regu dari seluruh negara, Februari lalu, akan dipertandingkan buat kali kedua di Sarawak pula, September ini.

Kata Ahmad, kali ini kejohanan terbuka dan berformat antara regu itu memilih gelanggang di luar Semenanjung demi mencungkil lebih ramai pemain yang berbakat untuk diketengahkan ke skuad elit atau pelapis negara.

"PSM percaya Sarawak mahupun Sabah mempunyai peranan yang mampu dimainkan sebagai penyumbang pembangunan sukan sepak takraw negara apabila dipilih sebagai tuan rumah kejohanan anjuran kami," katanya mengulas lawatan ke Kuching, baru-baru ini.

Kata Ahmad, satu lagi kejohanan terbuka antara regu yang turut diserahkan kepada Sarawak sebagai tuan rumahnya ialah Terbuka PSM-Salim Sports Siri 7/2010 yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 11 Julai ini.

"Walaupun Sarawak jarang menganjurkan kejohanan besar mungkin disebabkan kos yang terlalu tinggi, saya percaya Piala Presiden PSM dan Terbuka PSM-Salim Sports akan meninggalkan kesan mendalam kepada sukan sepak takraw negeri ini.

"Sarawak memiliki ramai pemain berbakat besar tetapi mungkin akibat kurang pemantauan PSM, mereka terlepas pandang dan tersisih tetapi kedua-dua kejohanan ini akan mencetuskan idea dan memberikan pilihan baru kepada kami untuk menilai mereka semula," katanya.

Terdahulu Ahmad bersama pegawai PSM lain seperti Setiausaha Agung, Datuk Arshad Yahya dan Ketua Seranta, Tengku Adnan Tengku Burhanudin mengadakan kunjungan hormat terhadap exco baru Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) diketuai Naib Yang Dipertuanya, Dr. Paruwadi.

"PSS terharu dengan kepercayaan PSM memberikan hak tuan rumah dua kejohanan itu tetapi menganggapnya satu cabaran besar untuk menjayakannya sekali gus mencungkil lebih ramai bakat Sarawak sebagai pemain negara," ujarnya.

Piala Presiden PSM di Bukit Jalil pada 6 dan 7 Februari lalu yang turut bertujuan sebagai medan pemilihan skuad elit baru negara, menyaksikan regu UPM - Ahmad Sufi Mohammed Hashim, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam bergelar juara setelah menewaskan ATM 2-0.

Terbuka PSM-Salim Sports pula sudah menjelajah Lumut, Perak (Disember), Sintok, Kedah (Januari), Kota Bharu, Kelantan (Februari) dan Manjung, Perak (bulan lalu) sebelum diteruskan di Kompleks Sukan Kluang, Johor dari 24 hingga 25 April ini.

Regu Taiping A bergelar juara di Lumut yang melibatkan 24 regu, SWIP B pula menjuarai Siri 1 (66 regu) di Sintok, diikuti Sukma Kelantan A (Siri 2 - 33 regu) dan Markas Armada A TLDM (Siri 3 - 27 regu).

Monday, March 29, 2010

Pemilihan PSM sempena jubli emas

UTUSAN MALAYSIA
29 MAC 2010

PETALING JAYA - Mesyuarat agung pemilihan pucuk pimpinan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) penggal 2010-2013 yang ditangguhkan semalam, kemungkinan besar diadakan sempena ulang tahun penubuhan persatuan kali ke-50, Jun ini.

Mesyuarat berkenaan bakal menggunakan Perlembagaan baru PSM yang kini menantikan kelulusan Pesuruhjaya Sukan dengan tiga jawatan tertinggi iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden akan melalui proses pencalonan semula sekali gus membatalkan keputusan 7 Mac lalu.

Ketiga-tiga jawatan berkenaan yang akan dibuka semula untuk ditandingi mana-mana pegawai daripada 17 ahli gabungan PSM yang meliputi 14 negeri, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia dan Labuan sementara hanya Setiausaha Agung dan Bendahari serta penolong kedua-duanya yang dilantik.

Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail berkata, pada dasarnya Majlis Tertinggi persatuan kelmarin bersetuju dengan tarikh mesyuarat agung sempena ulang tahun itu, tetapi masih memberi mandat kepada Jawatankuasa Eksekutif (Exco) membincangkan dan menetapkannya dalam tempoh antara sebulan hingga sebulan setengah dari sekarang.

"Exco PSM akan bermesyuarat sebaik sahaja mendapat kelulusan bertulis Pesuruhjaya Sukan. Kami mempunyai masa sehingga 27 Jun ini untuk mengadakan mesyuarat agung yang baru berdasarkan perlembagaan," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi persatuan di Hotel Eastin di sini, semalam.

Ditanya tindakan Majlis Tertinggi ke atas individu yang digelarnya 'Si Kitul' yang menjadi punca penangguhan mesyuarat agung dan cuba mendapatkan injunksi mahkamah menghalangnya, kata Ahmad: "Ia ada dibincang tetapi kami memikirkan sebarang tindakan hanya akan disalahtafsirkan apatah lagi menjelang pemilihan.

"Jadi lebih baik kami putuskan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan ke atasnya tetapi menyeru mereka yang cintakan sepak takraw, kembali berganding bahu dengan kami membangunkan sepak takraw - sukan seni warisan budaya bangsa.

"Cukuplah setakat itu kerana saya tidak mahu kemelut PSM yang tidak berkesudahan dan kami mengambil pendirian untuk meneruskan kerja," katanya, yang pada 7 Mac lalu diputuskan menang tanpa bertanding mempertahankan kerusi nombor satu PSM itu bagi penggal ketiga sejak 2002.

Sementara itu, katanya, PSM turut merancang mengadakan beberapa acara besar-besaran sempena merayakan ulang tahun jubli emasnya, Jun ini seperti menganjurkan Ekspo PSM dan Sepak Takraw dan Kejohanan Veteran Antarabangsa melibatkan Malaysia, Thailand, Myanmar, Singapura dan Indonesia.

"Kami akan menjemput legenda sepak takraw kita seperti Raja Sepak Takraw Asia 1986, Adnan Saidin dan bekas tekong handalan dari Thailand, Pakdee Dangwatanapaibul dalam perlawanan itu di samping satu perlawanan skuad senior yang berupa persediaan ke Sukan Asia Guangzhou, November ini.

"Turut diadakan ialah satu perlawanan persahabatan Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris) dengan Media Thailand seperti ketika Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-24 di Bangkok, tahun lalu," katanya yang juga Timbalan Presiden I Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Selain itu, PSM juga mengumumkan Kejohanan Belia Kebangsaan akan diadakan di Melaka dari 1 hingga 5 Mei ini sekali gus satu gelanggang ujian menjelang Sukan Malaysia (Sukma) Ke-13 dari 10 hingga 19 Jun depan.

Sunday, March 28, 2010

PSM beralih fokus kembalikan maruah takraw

BERITA HARIAN
2010/03/28

SEAKAN berada di pulau terasing, skuad sepak takraw negara cuba mengetepikan gelora yang melanda Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) apabila mereka fokus terhadap latihan termasuk bersiap menghadapi dua kejohanan menguji tahap persediaan mereka pada bulan depan.

Selepas dikecam hebat akibat tindakan PSM mengutamakan kroni dalam pentadbiran dan pemilihan atlit menyaksikan sukan berkenaan menghadapi episod paling buruk dalam sejarah apabila tewas kepada Laos di Sukan Sea Disember lalu, himpunan pemain baru itu bertekad mengembalikan maruah negara.

Pengerusi Jawatankuasa Persediaan Atlit ke Sukan Asia, Mohd Asri Abdul Jalil, berkata himpunan atlit terbaik negara yang dipilih selepas kejohanan terbuka sebelum ini, sudah bersiap untuk diuji di luar negara bermula dengan Kejohanan Hoeng Seong di Korea Selatan dan Piala Datuk Bandar Hatyai. “Sebelum berangkat ke kejohanan itu, atlit ini akan menjalani latihan khas di kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula 28 Mac hingga 8 April. Selepas itu mereka akan mengambil bahagian di Korea antara 14 dan 21 April diikuti di Thailand 23 hingga 24 April,” katanya.

Mohd Asri berkata, mereka akan menghantar satu regu terbaik ke Korea manakala tiga regu akan dihantar ke Haatyai.

“Ini menjadi kejohanan pertama buat skuad baru yang kita bentuk membabitkan 23 pemain,” katanya.

Monday, March 15, 2010

Tamparan awal hambat sepak takraw

ARKIB : 10/03/2010

KUALA LUMPUR – Skuad elit sepak takraw negara menerima tamparan awal dalam persediaan menghadapi Sukan Asia Guangzhou, November ini apabila kehilangan seorang pelibas berbakat, Mohd. Fazli Muhammad Roslan yang mendapat tawaran kerja tetap.

Penarikan diri apit kanan muda Terengganu ini menyusuli penolakan tawaran dua lagi pelibas, Hafiz Rahman dan Nur Yuslie Yusuff untuk menyertai pasukan bimbingan Iskandar Arshad yang dibentuk semula sejak pertengahan bulan lalu.

Adik bekas pelibas utama Sukan SEA Laos 2009, Mohd. Hamikhairi Muhammad Roslan itu dikatakan menyertai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan tempatnya kini diisi Sazali Saad, pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang muncul naib juara Piala Presiden PSM di Bukit Jalil, awal bulan lalu.

Kata Iskandar, keanggotaan skuad elit kini mengecil kepada 23 orang dengan lapan tekong, lapan pelibas dan tujuh pengumpan, berbanding 24 yang disenaraikan sejak rombakan pegawai dan pemain dilakukan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kami cuba biarkan kuota seorang lagi pelibas itu kekosongan dan tidak berhasrat mencari pengganti lagi buat sementara,” katanya yang menghadapi misi sulung antarabangsa, Kejohanan Antarabangsa Hoengseong, Korea Selatan dari 14 hingga 20 April ini.

Satu lagi kejohanan pemanas badan yang mulanya dijadualkan awal bulan depan, Piala Datuk Bandar Hatyai, Thailand ditunda ke 23 hingga 25 April ini dengan tiga regu skuad elit bakal dihantar menyertainya.

Pemain elit masih menjalani sesi latihan di Institut Sukan Negara (ISN) tetapi bakal dilepaskan kembali ke pangkuan negeri atau pasukan pilihan masing-masing mulai Selasa ini bagi menghadapi Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-47 dari 20 hingga 22 Mac ini.

ATM, penyandang trofi berusia 48 tahun itu dengan menewaskan Terengganu 2-1, tahun lalu dijangka terus menjadi pilihan utama sambil ditentang Polis Diraja Malaysia yang mungkin memancing khidmat ramai bintang elit dan bekas pemain negara.

Tidak ketinggalan menyaingi mereka dalam kejohanan berpasukan ini ialah Selangor, Melaka, Kelantan dan Kuala Lumpur sambil tiga lagi kategori sampingan dipertandingkan iaitu antara regu bawah 21 tahun, wanita dan veteran.

Sebahagian besar negeri juga tidak akan melepaskan peluang dalam kejohanan di Gimnasium 2 MSN Bukit Jalil ini untuk menguji beberapa pemain bawah 23 tahun mereka menjelang Sukan Malaysia Ke-13 di Melaka pada Jun ini.

Ramuan lama diperbaharui

ARKIB : 20/02/2010

MEMORI pahit Sukan SEA XXV Laos, Disember lalu cuba mahu dibuang jauh-jauh oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tetapi muka lama yang pernah 'melukakan' hati mereka, tiba-tiba kembali dipanggil demi sebutir emas Sukan Asia Guangzhou, November ini yang dianggap 'sudah terlalu mahal'.

Mengambil iktibar kekalahan mengejut kepada Laos, rombakan jurulatih dan pemain malah pengurusan dibuat secara mendadak walaupun terpaksa mengorbankan nama besar tertentu seperti Haris Abdul Rahman, Sahar Omar, Datuk Arshad Yahya, Hamikhairi Roslan dan Shaifullah Mohamed Nor.

Melihat Thailand masih terlalu unggul sejak bertahun-tahun walaupun dengan tonggak lama seperti Suebsak Phunsueb, Pornchai Kaokaew, Suriyan Peachan, Panomporn Aiemsa-ard dan Singha Somsakul serta Somporn Jaisinghol, PSM cuba mencontohi musuh tradisi itu lalu memanggil balik regu emas Sukan SEA Filipina 2005, K. Saravanan, Azman Nasruddin dan Arif Ramli.

Sekalipun masih ada yang mengkritik cara pembentukan baru skuad pelatih elit negara menerusi Kejohanan Piala Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail pada 6 hingga 7 Februari lalu, panel pemilihan yang diketuai jurulatih Iskandar Arshad ternyata mempunyai asas kukuh dan kriteria tersendiri untuk menamakan mereka.
Kata Ahmad, mereka dipilih berdasarkan program persediaan jangka pendek dengan mengutamakan daya juang, ketahanan, kecergasan dan pengalaman untuk membawa pulang sebutir pingat emas Sukan Asia 2010. Yang tidak terpilih atau digugurkan, masih ada peluang lain dan bukan bererti tidak bagus langsung.
"Kita masih ada Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-47 (di Bukit Jalil, 20 hingga 22 Mac ini) dan dua tiga tempat lain boleh ditawarkan kepada sesiapa yang tetap bagus dan menyerlah khususnya bagi pelibas memandangkan posisi itu berisiko kecederaan," katanya.
Malah menyedari episod dadah yang pernah melanda skuad negara sejak 2001 hingga mencuri tumpuan pada Sukan Asia Busan 2002, Ahmad pantas memberi amaran untuk menyaring 24 orang yang terpilih ini dengan ujian dadah secara rambang setiap dua minggu sekali dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).
"Menerusi ujian ini selain pemeriksaan perubatan ISN, kami mahu pastikan tiada lagi unsur yang mampu menjejaskan imej negara. Skuad elit juga akan menerima bantuan pakar sokongan sains sukan seperti fisiologi, biomekanik, nutrisi dan analisis sukan," katanya yang turut bersedia melepaskan jawatannya jika gagal lagi, November ini.

Perlu diakui bahawa Piala Presiden PSM lalu membuktikan ketahanan dan pengalaman juara Sukan SEA 2005 - Normanizam Ahmad, Futra Ghani dan Zulkarnain Arif. Juga semangat juang dan kemahiran Noor Azman Hamid, Dzan Hedir Amin dan Mohd. Muqlis Borhan di samping kemampuan senjata tersendiri dan ciri istimewa Saravanan, Arif Ramli dan Azman.
Disokong pemilihan semula lapan pemain pemenang perak berpasukan di Laos seperti Ahmad Sufi Hashim, Syazwan Husin, Norshahruddin Mad Ghani, Noor Azman, Mohd. Fazil Asri, Hafizie Manap, Farhan Adam dan Syafiq Ab. Rahman, skuad elit negara kali ini diyakini lebih mantap, cukup ramuan dan berkeyakinan tinggi untuk menghadapi misi kemuncak di Guangzhou.
Namun sejauh mana kemampuan mereka dan setepat mana pemilihan terbaru PSM ini hanya akan teruji dalam empat misi awal antarabangsa menerusi Piala Datuk Bandar Hatyai dan Kejohanan Antarabangsa Hoengseong, Korea Selatan (April), Kejohanan Dunia Piala Malaysia Keempat (Mei) dan Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-25 (Jul

PSM ‘rujuk semula’ muka lama

ARKIB : 09/02/2010

KUALA LUMPUR – Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) membuat kejutan apabila turut menyenaraikan muka lama dalam membentuk skuad elit yang diletakkan sandaran pingat emas pada Sukan Asia XVI Guangzhou, November ini.

Malah seperti menyahut seruan 1Malaysia, PSM turut menamakan seorang tekong bukan Melayu, yang kali terakhir mewakili negara dalam program Gemilang 2001, K. Saravanan ke skuad 24 pemain berkenaan, semalam.

Selain kembalinya Normanizam Ahmad, Futra Ghani dan Zulkarnain Arif, yang menepati ramalan awal, turut tersenarai semula ialah regu emas Sukan SEA 2005, iaitu pelibas berpengalaman dua Sukan Asia Busan 2002 dan Doha 2006, Azman Nasruddin.

Hanya lapan pemain skuad yang memenangi pingat perak pada Sukan SEA Laos XXV disenaraikan semula, termasuk regu UPM ‘A’ yang menjuarai Kejohanan Piala Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail kelmarin, Ahmad Sufi Hashim, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam.

Lain-lain pemain termasuk Syazwan Husin, Noor Azman Abdul Hamid, Mohd. Fazil Asri, Syafiq Ab. Rahman dan Hafizie Manap, manakala pelibas pemenang gangsa antara regu di Laos, Hamikhairi Roslan tidak tersenarai sedangkan tuah menyebelahi adiknya, Fazli Roslan.

Mereka yang lain termasuk Nasiruddin Manjur Ahmad, Mazli Mohd. Soh, Khairul Anuar Ibrahim, Hafiz Rahman, Helmi Ismail, Shamsul Asraf Roslan, Dzan Hider Amin, Arif Ramli, Muqlis Borhan dan Faizul Hairi Osman.

Senarai lapan tekong, sembilan pelibas dan tujuh pengumpan skuad elit ini diumumkan oleh Ahmad, selepas mesyuarat Jawatankuasa Program yang dipengerusikan oleh Pengarah Cawangan Elit Majlis Sukan Negara, Arrifin Ghani di Bukit Jalil.

“Ia bagaimanapun bukan bererti pintu untuk pemain lain ke skuad negara sudah tertutup, kerana masih ada dua tiga tempat untuk mereka, sekiranya masih bagus terutama apabila berlangsungnya Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-47 bulan depan.

“Mana-mana pemain skuad elit sebelum ini yang masih tercedera, biarlah mereka menjalani pemulihan dan rawatan dahulu. Namun, senarai pemain kali ini sememangnya bagi persediaan jangka pendek dalam membawa pulang sebutir emas Sukan Asia.

“Mereka akan menjalani pemeriksaan perubatan dengan Institut Sukan Negara (ISN) pada 17 hingga 19 Februari, dan melapor diri kepada ketua jurulatih, Iskandar Arshad (22 Februari), sebelum diletakkan di bawah agensi itu selama lima minggu bagi sesi pelaziman,” kata Ahmad.

Malaysia memenangi emas terakhir Sukan Asia di Hiroshima pada 1994 menerusi Iskandar selaku pemain di samping Ahmad Jais Baharom, Malek Shamsudin dan Zabidi Shariff dengan jurulatihnya, Haris Abdul Rahman yang khidmatnya tidak disambung mulai bulan lalu.

Hanya lima pemain yang berpengalaman dalam Sukan Asia Doha 2006 dengan merangkul dua perak berpasukan dan antara regu serta sebutir gangsa beregu iaitu Normanizam, Futra, Zulkarnain, Azman dan Ahmad Sufi.

Regu emas 2005 jadi pilihan skuad elit?

ARKIB : 08/02/2010


KUALA LUMPUR - Regu emas Sukan SEA 2005 yang pernah bersara seketika dari arena antarabangsa - Normanizam Ahmad, Futra Ghani dan Zulkarnain Arif kian pasti tersenarai dalam 27 pemain skuad elit baru negara bagi latihan pusat menghadapi Sukan Asia XVI Guangzhou, November ini.

Sekalipun sekadar mara ke suku akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail, semalam, regu PDRM A yang mendapat perhatian dan sambutan penonton di Gimnasium 2 MSN, Bukit Jalil itu tampak mampu memikat barisan jurulatih negara pimpinan Iskandar Arshad.

Kemasukan mereka diperkuatkan dengan kenyataan Ahmad: "Tidak semestinya mereka yang bergelar juara atau masuk ke perlawanan akhir atau separuh akhir, bakal dipilih. Kami mahukan yang terbaik dan antara kriterianya ialah berkaitan ketahanan dan kecergasan di gelanggang.''

Antara pemain skuad pemenang perak Sukan SEA Laos 2009 yang turut beraksi semalam ialah Ahmad Sufi Hashim, Syazwan Husin, Hamikhairi Roslan, Hafizie Manap, Syafiq Ab. Rahman, Norshahruddin Mad Ghani, Noor Azman Abdul Hamid manakala bekas pemain negara - V. Selvaraj, Suhaimi Yusof dan Rosmadi Ghani.

Keputusan siapa yang terpilih dan sejauh mana perubahan anggota skuad elit sejak Sukan SEA Laos, tahun lalu bagaimanapun bakal diketahui pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Persatuan Sepak Takraw Malaysia-Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, hari ini.

Menurut Ahmad yang juga Timbalan Presiden I Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf): "Sebelum ini kami memiliki 28 pemain skuad elit dan memang ada kemungkinan besar ada beberapa muka baru yang boleh dipanggil dan sebahagian kecil yang asal perlu digugurkan.

"Mereka akan dipanggil melapor diri pada 15 Februari ini tetapi kami akan menyaring semula hanya 18 orang (enam tekong, enam pelibas dan enam pengumpan) yang terakhir bagi menghadapi Sukan Asia mulai April ini.''

Sementara itu, Ahmad turut memberitahu, kejohanan tahunan tertua dan berprestij kebangsaan anjuran PSM, Piala Emas Khir Johari Ke-47 bakal dilangsungkan di Gimnasium 3 MSN, Bukit Jalil dari 19 hingga 21 Mac ini.

"Selain mengekalkan format berpasukan buat ahli gabungan PSM, kami mahu memperkenalkan pertandingan antara regu terbuka dengan dua divisyen dan pertandingan khas wanita serta veteran," katanya.


Related Posts with Thumbnails

My Playlist