Monday, March 15, 2010

Tamparan awal hambat sepak takraw

ARKIB : 10/03/2010

KUALA LUMPUR – Skuad elit sepak takraw negara menerima tamparan awal dalam persediaan menghadapi Sukan Asia Guangzhou, November ini apabila kehilangan seorang pelibas berbakat, Mohd. Fazli Muhammad Roslan yang mendapat tawaran kerja tetap.

Penarikan diri apit kanan muda Terengganu ini menyusuli penolakan tawaran dua lagi pelibas, Hafiz Rahman dan Nur Yuslie Yusuff untuk menyertai pasukan bimbingan Iskandar Arshad yang dibentuk semula sejak pertengahan bulan lalu.

Adik bekas pelibas utama Sukan SEA Laos 2009, Mohd. Hamikhairi Muhammad Roslan itu dikatakan menyertai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan tempatnya kini diisi Sazali Saad, pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang muncul naib juara Piala Presiden PSM di Bukit Jalil, awal bulan lalu.

Kata Iskandar, keanggotaan skuad elit kini mengecil kepada 23 orang dengan lapan tekong, lapan pelibas dan tujuh pengumpan, berbanding 24 yang disenaraikan sejak rombakan pegawai dan pemain dilakukan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kami cuba biarkan kuota seorang lagi pelibas itu kekosongan dan tidak berhasrat mencari pengganti lagi buat sementara,” katanya yang menghadapi misi sulung antarabangsa, Kejohanan Antarabangsa Hoengseong, Korea Selatan dari 14 hingga 20 April ini.

Satu lagi kejohanan pemanas badan yang mulanya dijadualkan awal bulan depan, Piala Datuk Bandar Hatyai, Thailand ditunda ke 23 hingga 25 April ini dengan tiga regu skuad elit bakal dihantar menyertainya.

Pemain elit masih menjalani sesi latihan di Institut Sukan Negara (ISN) tetapi bakal dilepaskan kembali ke pangkuan negeri atau pasukan pilihan masing-masing mulai Selasa ini bagi menghadapi Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-47 dari 20 hingga 22 Mac ini.

ATM, penyandang trofi berusia 48 tahun itu dengan menewaskan Terengganu 2-1, tahun lalu dijangka terus menjadi pilihan utama sambil ditentang Polis Diraja Malaysia yang mungkin memancing khidmat ramai bintang elit dan bekas pemain negara.

Tidak ketinggalan menyaingi mereka dalam kejohanan berpasukan ini ialah Selangor, Melaka, Kelantan dan Kuala Lumpur sambil tiga lagi kategori sampingan dipertandingkan iaitu antara regu bawah 21 tahun, wanita dan veteran.

Sebahagian besar negeri juga tidak akan melepaskan peluang dalam kejohanan di Gimnasium 2 MSN Bukit Jalil ini untuk menguji beberapa pemain bawah 23 tahun mereka menjelang Sukan Malaysia Ke-13 di Melaka pada Jun ini.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

My Playlist