Monday, March 15, 2010

Regu emas 2005 jadi pilihan skuad elit?

ARKIB : 08/02/2010


KUALA LUMPUR - Regu emas Sukan SEA 2005 yang pernah bersara seketika dari arena antarabangsa - Normanizam Ahmad, Futra Ghani dan Zulkarnain Arif kian pasti tersenarai dalam 27 pemain skuad elit baru negara bagi latihan pusat menghadapi Sukan Asia XVI Guangzhou, November ini.

Sekalipun sekadar mara ke suku akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail, semalam, regu PDRM A yang mendapat perhatian dan sambutan penonton di Gimnasium 2 MSN, Bukit Jalil itu tampak mampu memikat barisan jurulatih negara pimpinan Iskandar Arshad.

Kemasukan mereka diperkuatkan dengan kenyataan Ahmad: "Tidak semestinya mereka yang bergelar juara atau masuk ke perlawanan akhir atau separuh akhir, bakal dipilih. Kami mahukan yang terbaik dan antara kriterianya ialah berkaitan ketahanan dan kecergasan di gelanggang.''

Antara pemain skuad pemenang perak Sukan SEA Laos 2009 yang turut beraksi semalam ialah Ahmad Sufi Hashim, Syazwan Husin, Hamikhairi Roslan, Hafizie Manap, Syafiq Ab. Rahman, Norshahruddin Mad Ghani, Noor Azman Abdul Hamid manakala bekas pemain negara - V. Selvaraj, Suhaimi Yusof dan Rosmadi Ghani.

Keputusan siapa yang terpilih dan sejauh mana perubahan anggota skuad elit sejak Sukan SEA Laos, tahun lalu bagaimanapun bakal diketahui pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Persatuan Sepak Takraw Malaysia-Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, hari ini.

Menurut Ahmad yang juga Timbalan Presiden I Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf): "Sebelum ini kami memiliki 28 pemain skuad elit dan memang ada kemungkinan besar ada beberapa muka baru yang boleh dipanggil dan sebahagian kecil yang asal perlu digugurkan.

"Mereka akan dipanggil melapor diri pada 15 Februari ini tetapi kami akan menyaring semula hanya 18 orang (enam tekong, enam pelibas dan enam pengumpan) yang terakhir bagi menghadapi Sukan Asia mulai April ini.''

Sementara itu, Ahmad turut memberitahu, kejohanan tahunan tertua dan berprestij kebangsaan anjuran PSM, Piala Emas Khir Johari Ke-47 bakal dilangsungkan di Gimnasium 3 MSN, Bukit Jalil dari 19 hingga 21 Mac ini.

"Selain mengekalkan format berpasukan buat ahli gabungan PSM, kami mahu memperkenalkan pertandingan antara regu terbuka dengan dua divisyen dan pertandingan khas wanita serta veteran," katanya.


No comments:

Related Posts with Thumbnails

My Playlist