Sunday, December 13, 2009

Sukan Sea.Vientiane,Laos. (9-18 Dis 09) Peluang kita tebus malu



HARI KEDUA PERLAWANAN SUKAN SEA,LAOS (11 DIS 09)

SEGALA kritikan yang dilemparkan kepada skuad sepak takraw kebangsaan, terjawab sudah apabila anak buah ketua jurulatih, Haris Abd Rahman itu mengesahkan tempat ke perlawanan akhir acara berpasukan selepas mengetepikan cabaran Indonesia serta tuan rumah, Laos di Lao Ittec, semalam.

Semua dendam yang terbuku di hati selepas dimalukan Indonesia pada kejohanan Piala Malaysia yang berlangsung di Kuala Terengganu, Mei lalu, dibalas dengan kemenangan 2-1, jam 9 pagi, semalam, sebelum membenam cabaran Laos 3-0 dalam perlawanan pada sebelah petang.

Gandingan Mohd Syazwan Husin, Md Hamikhairi Roslan dan Md Syafiq Abd Rahman menang 21-17, 21-15 ke atas regu pertama Indonesia anakala regu kedua yang dibarisi Ahmad Sufi Md Hashim, Norshahrudin Md Ghani dan Farhan Adam tewas 21-16, 19-21 dan 13-15.

Mata kemenangan yang dicari skuad kebangsaan diperoleh menerusi gandingan Mohd Fazil Mohd Asri, Md Khairuddin Adenan dan Mohd Hafizie Manap yang menang 21-16 dan 21-15 ke atas regu ketiga Indonesia.

Pada pertemuan dengan Laos, gandingan Mohd Syazwan, Md Hamikhairi dan Md Syafiq mengulangi aksi cemerlang di sebelah pagi apabila menang 21-15 dan 22- 20 manakala Ahmad Sufi, Norshahrudin dan Farhan menang 21-9 dan 21-15. Regu ketiga yang dibarisi Noor Azman Abd Hamid, Mohd Khairuddin dan Mohd Hafizie menang 25-23 dan 25-24.


Dengan kejayaan ke atas Indonesia dan Laos semalam serta kemenangan ke atas Myanmar kelmarin, Malaysia kini mengumpul sembilan mata dan akan bertemu Thailand pada perlawanan akhir peringkat kumpulan untuk menentukan siapakah yang berhak untuk bergelar juara kumpulan.

Thailand yang turut menang ke atas Myanmar, Indonesia dan Laos, kini berkongsi mata dengan Malaysia dan jam 9 pagi ini, kedua-dua negara akan turun melengkapkan jadual sebelum bertarung habis-habisan pada perlawanan akhir yang dijadualkan 4 petang ini.

Acara berpasukan lelaki disertai lima pasukan iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia, Myanmar serta Laos dan perlawanan dijalankan secara liga sekumpulan dan dua pasukan teratas akan layak secara automatik ke perlawanan akhir.

“Pada saya, ini tiga kejayaan yang dirakam ke atas Myanmar, Indonesia dan Laos ini belum lagi boleh dibanggakan. Kita perlu mengatasi Thailand pada perlawanan akhir petang esok (ini) untuk merangkul emas dan saya merasakan ini adalah peluang terbaik kita untuk kembali memenangi emas acara berpasukan.

“Pagi esok, kami akan menurunkan semua pemain simpanan ketika bertemu Thailand kerana perlawanan itu tidak akan membawa sebarang makna sebaliknya hanyalah sebagai pelengkap jadual saja.

“Saya yakin Thailand juga akan menggunakan khidmat pemain simpanan kerana tidak ada gunanya kita membuang tenaga pemain utama. Perlawanan akhir akan turut dijalankan di sebelah petang dan pemain perlu mendapat rehat yang secukupnya sebelum perlawanan penting itu,” katanya.


No comments:

Related Posts with Thumbnails

My Playlist