Tuesday, December 15, 2009

Sukan Sea.Vientiane,Laos.(9-18 Dis 09) Maruah dicalar lagi


HARI KEEMPAT PERLAWANAN SUKAN SEA,LAOS (13 DIS 09)


SELEPAS Indonesia dan Korea Selatan, kini tiba giliran Laos pula memalukan skuad sepak takraw kebangsaan apabila menumbangkan gandingan harapan negara 21-13, 17-21 dan 15-13 pada saingan antara regu di Kompleks Sukan Lao Ittec, petang semalam.

Imej yang baru mahu dilonjakkan anak buah ketua jurulatih, Haris Abd Rahman itu selepas berjaya melakar aksi di perlawanan akhir acara berpasukan kelmarin, kembali tercalar teruk selepas tumbang di tangan tuan rumah temasya dwi-tahunan berkenaan - lawan yang tidak pernah dianggap sebagai pencabar utama.

Belum pernah berlaku dalam sejarah sepak takraw, Malaysia ditewaskan Laos, tetapi perkara yang paling mahu dielakkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) itu terjadi juga akhirnya dan yang lebih memeritkan, laluan untuk ke perlawanan akhir acara berkenaan boleh dianggap sebagai sudah tertutup rapat.

Untuk mengharapkan Filipina menundukkan Laos, adalah sesuatu yang boleh dianggap mustahil sama sekali kerana Filipina bukanlah kuasa besar di dalam arena sepak takraw antarabangsa manakala Malaysia perlu menang ke atas Vietnam dan Filipina dalam baki perlawanan peringkat kumpulan


Haris mengakui peluang Malaysia ke perlawanan akhir sudah semakin sempit, tetapi beliau masih lagi menaruh harapan kepada keupayaan Filipina.


“Memang sukar untuk melihat Filipina menumbangkan Laos, tetapi dalam sepak takraw apa saja boleh berlaku,” katanya.

Terdahulu, pada perlawanan menentang Thailand, pagi semalam, Malaysia tewas 21-13, 21-11 dan gandingan Mohd Syazwan Husin, Mohd Hamikhairi Roslan dan Mohd Shafiq Abd Rahman sekali lagi dipertaruhkan untuk menewaskan Laos dan selepas tamat set pertama, tugas itu dilihat tidak terlalu sukar untuk dilaksanakan.

Begitupun, servis berbisa Mohd Syazwan, gagal diteruskan pada babak kedua dan Haris bertindak menggantikan pemain itu dengan Noor Azman Abd Hamid, tetapi pemain itu tetap tidak berupaya mengekang servis tajam tekong Laos.

Kegagalan demi kegagalan itu membuatkan pemain Malaysia kelihatan seperti hilang punca dan aksi hebat dipamerkan pada babak pertama, hilang dan tenggelam dalam sorakan padu penyokong tuan rumah.

“Kita kalah kerana kedua-dua tekong kita gagal membuat servis yang baik. Kita kerap memberi mata secara percuma kepada regu Laos, sama ada servis terkeluar atau terkandas. Lebih memburukkan keadaan, banyak kali servis lawan juga gagal kita angkat dengan baik.

“Sekarang, kita perlu menang baki dua perlawanan iaitu menentang Vietnam dan Filipina untuk membolehkan kita mencabar gangsa,” kata Haris yang kecewa dengan kekalahan itu.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

My Playlist